Penyediaan RMKe-12

  1. Pendekatan perancangan dari atas ke bawah dan perancangan dari bawah ke atas diguna pakai dalam penyediaan RMKe-12.

  2. Perancangan dari atas ke bawah bermula dengan penyediaan rangka kerja ekonomi makro oleh agensi pusat, termasuklah EPU, MOF dan BNM. Sebagai agensi yang bertanggungjawab menyediakan RMKe-12, EPU menyelaras dan mencadangkan sasaran ekonomi makro serta menerbitkan garis panduan RMKe-12 untuk rujukan semua kementerian dan agensi.

  3. Perancangan dari bawah ke atas bermula setelah kementerian dan agensi menerima garis panduan tersebut dan mengemukakan kepada EPU cadangan program dan projek pembangunan selari dengan objektif RMKe-12.

  4. Rancangan ini telah dirangka berdasarkan sesi libat urus yang meluas dengan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk kementerian, kerajaan negeri, sektor swasta dan pertubuhan masyarakat sivil (CSO), serta sesi libat urus dalam talian dengan orang ramai. Untuk mendapat dan menyelaraskan maklum balas dari semua pihak berkenaan, Kumpulan Perancang Antara Agensi (IAPG), Kumpulan Kerja Teknikal (TWG) dan Kumpulan Fokus (FG) telah ditubuhkan. EPU merupakan Pengerusi dan Urus Setia bagi setiap IAPG. Wakil sektor swasta dan masyarakat sivil juga merupakan ahli kepada IAPG/TWG/FG yang berkaitan. Dalam hal ini, maklum balas dari semua pihak berkepentingan telah dipertimbangkan melalui 13 IAPG, 46 TWG dan lebih daripada 190 FG yang ditubuhkan.

  5. EPU seterusnya mengangkat cadangan dasar serta program pembangunan utama ke Jawatankuasa Perancangan Pembangunan Negara (JPPN) iaitu jawatankuasa tertinggi di peringkat pegawai kerajaan yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara, sebelum mengemukakannya ke Jawatankuasa Khas Perdana Menteri dan Jemaah Menteri. Akhirnya, dasar dan program pembangunan ini dibentangkan oleh Perdana Menteri di Parlimen.

  6. Dengan mengambil kira situasi semasa, penggubalan RMKe-12 ini adalah paling mencabar berbanding dengan rancangan lima tahun sebelum ini. Penyediaan RMKe-12 bermula sejak 16 April 2019. Pembentangan RMKe-12 di Parlimen telah ditunda empat kali berikutan daripada pandemik COVID-19. Ini membolehkan EPU mengadakan lebih banyak sesi libat urus dengan pihak berkepentingan. RMKe-12 dijangka dibentangkan di Parlimen pada 27 September 2021.


      Ke Arah RMKe-12


Mengenai Rancangan Malaysia Kedua Belas

  1. Tahun 2021 adalah tahun pertama bagi tempoh Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12). Penyediaan RMKe-12 ini sangat mencabar berikutan pandemik COVID-19 dan ketidaktentuan ekonomi dan perdagangan dunia. RMKe-12 akan dibentangkan di Parlimen pada 27 September 2021.

  2. RMKe-12 merupakan bahagian terakhir dalam pelan pemulihan negara di bawah pendekatan 6R iaitu reform. Ini bagi memastikan Malaysia berada pada landasan yang kukuh bukan sahaja dalam menangani isu dan cabaran sosioekonomi semasa kesan pandemik COVID-19, tetapi juga untuk mencapai pertumbuhan ekonomi jangka panjang yang mampan.

  3. Dasar dan strategi yang akan diperkenalkan di bawah RMKe-12 menunjukkan komitmen Kerajaan bagi mencapai matlamat untuk merealisasikan negara makmur, inklusif dan mampan berasaskan semangat Keluarga Malaysia.

  4. Kerajaan sentiasa memberi keutamaan kepada sektor swasta sebagai rakan pembangunan. Sehubungan dengan itu, Kerajaan inginkan supaya sektor swasta terus memainkan peranan sebagai peneraju pertumbuhan melalui beberapa inisiatif dan sokongan khusus yang akan disediakan. Di samping itu, ekosistem yang menyokong perniagaan akan diperkukuh bagi meningkatkan produktiviti dan kecekapan pasaran buruh.

  5. Penglibatan sektor swasta melalui pelaburan berkualiti, terutama dalam industri berpotensi tinggi yang telah dikenal pasti akan digalakkan bagi membolehkan industri beralih kepada rantaian nilai yang lebih tinggi. Di samping itu, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang mempunyai potensi yang besar akan diperkukuh untuk menjadi tunjang kepada pembangunan negara. PMKS akan digalakkan untuk memodenkan perniagaan dengan menerima guna teknologi termaju dan pendigitalan, dan seterusnya berpeluang untuk meneroka pasaran global.

  6. Kerajaan juga tidak akan mengabaikan aspek berkaitan pembangunan inklusif. Agenda untuk menangani isu kemiskinan serta merapatkan jurang antara kumpulan pendapatan, kaum dan wilayah akan terus menjadi keutamaan. Aspek kesejahteraan Keluarga Malaysia yang merangkumi keselamatan, kesihatan, perumahan dan kesepaduan rakyat juga akan dipertingkat. Selain itu, pemerkasaan Bumiputera dan pembangunan di negeri-negeri yang kurang membangun akan terus diberi penekanan. Bagi memastikan Sabah dan Sarawak tidak ketinggalan dalam arus pembangunan, tumpuan khusus akan diberikan untuk menambah baik penyediaan infrastruktur dan perkhidmatan asas bagi menyokong pertumbuhan ekonomi yang lebih pantas.

  7. Agenda pembangunan hijau akan terus diberi penekanan. Ini bagi memastikan perancangan pembangunan negara mengambil kira kelestarian alam sekitar dan seterusnya menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara rendah karbon. Pendekatan yang lebih menyeluruh akan dilaksana dengan penglibatan yang lebih meluas daripada sektor swasta, pertubuhan masyarakat sivil dan rakyat. Pelaksanaan pendekatan ini akan dapat menangani kesan perubahan iklim dan memulihara sumber biodiversiti negara untuk manfaat generasi masa kini dan akan datang.

  8. Tumpuan turut akan diberi bagi mengukuhkan ekosistem yang menyokong pertumbuhan ekonomi dan menarik pelaburan berkualiti, termasuk membangunkan bakat yang berkemahiran, menyediakan infrastruktur dan utiliti yang lebih baik serta menggalakkan industri berinovasi dan menerima guna teknologi. Selain itu, Kerajaan akan terus memastikan penyampaian perkhidmatan awam yang disediakan adalah cekap dan berkesan dengan mempertingkat pendigitalan dalam sektor awam. Keutuhan pentadbiran, integriti dan ketelusan dalam perkhidmatan awam akan turut dimantapkan.

  9. RMKe-12 akan membina asas yang kukuh dalam membentuk sebuah negara berteknologi dan berpendapatan tinggi dengan pengagihan yang lebih saksama. Ini bagi membolehkan Keluarga Malaysia mengecapi kehidupan yang lebih bersatu padu, harmoni dan bermaruah dengan mengetepikan segala perbezaan dan meraikan kepelbagaian.

Rasional Logo RMKe-12


Rasional Logo RMKe-12
Muat turun logo di sini